Amaran ribut petir – Jabatan Meteorologi

Seri Manjung – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka akan melanda beberapa negeri Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman sosial Facebook jabatan tersebut pada jam 1.05 tengah hari tadi. Antara negeri yang dijangka dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang ialah Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Cuaca buruk itu juga turut melanda di beberapa bahagian negeri-negeri lain, ia termasuk Kedah (Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Maran), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau), Melaka (Alor Gajah dan Melaka Tengah).

Manakala di Sabah, antara kawasan yang dijangka mengalami ribut petir adalah sekitar Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Kunak dan Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan). Di Sarawak pula amaran dikeluarkan hanya di Sibu (Sibu dan Selangau) dan Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah).

Amaran cuaca buruk hanya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Menurut MetMalaysia lagi, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di negeri-negeri dan kawasan yang terlibat dijangka berlarutan sehingga pukul 4 petang, Sabtu, 5 Mac 2022.

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.