Seri Manjung – Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) di bahagian utara Perak serta utara Semenanjung tanah air bermula hari ini sehingga 20 Disember 2022, iaitu pada Selasa depan.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh MetMalaysia pada petang tadi turut mengeluarkan amaran hujan (buruk) di beberapa kawasan lain termasuk Kelantan dan Terengganu.
Amaran berterusan hujan (buruk) melibatkan beberapa kawasan termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai. Di negeri Terengganu pula ia membabitkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.
Amaran hujan berterusan (waspada) dijangka melanda negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Manakala beberapa kawasan di Perak ia membabitkan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar.
Di Kelantan pula, amaran hujan berterusan (waspada) hanya membabitkan Gua Musang. Sementara di Terengganu hanya melibatkan Dungun dan Kemaman sahaja.
Antara kawasan-kawasan lain yang dijangka menerima hujan tahap waspada adalah Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin), Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.
Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.