Manchester – Kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United akhirnya menutup jendela perpindahan musim panas 2023 dengan membawa masuk kapten pasukan Maghribi, Sofyan Amrabat.
Sofyan Amrabat merupakan pemain keempat dan yang terakhir dibawa masuk pada hari-hari terakhir oleh kelab bola Inggeris tersebut melalui perjanjian pinjaman selama semusim.
Manchester United dipercayai membayar yuran pinjaman sekitar €10 juta kepada Fiorentina untuk pemain berusia 27 tahun itu dengan pilihan untuk membuat perpindahan kekal pada harga €20 juta serta tambahan €5 juta.
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag dipercayai mengejar tandatangan Sofyan Amrabat sepanjang musim panas, dimana beliau pernah menguruskan pemain tengah itu sewaktu di FC Utrecht antara tahun 2015 dan 2017.
Selain itu, prestasi mengagumkan Sofyan Amrabat bersama Maghribi pada Piala Dunia 2022, Qatar, telah menjadi sebab utama Erik ten Hag melamar pemain tersebut.
“Ia adalah satu penghormatan besar untuk menyarung jersi Manchester United.”
“Saya terpaksa bersabar buat masa ini tetapi saya seorang yang sentiasa mendengar kata hati saya dan kini saya mewakili kelab impian saya,” kata Sofyan Amrabat.
Pengarah kelab, John Murtough mendedahkan bahawa, kelab telah lama mengintip kapten pasukan Maghribi tersebut dan kami sangat berbesar hati untuk membawanya ke Manchester United.
Antara pemain lain yang disambar pada hari terakhir jendela perpindahan adalah penjaga gol, Altay Bayindir dan bek kiri, Sergio Reguilon (pinjaman).