Ipoh – Jangkitan Demam Babi Afrika (ASF) telah dikesan di tiga ladang ternakan babi komersial di Perak yang telah menjangkiti lebih 3,700 ekor babi.
Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, antara ladang ternakan yang terlibat adalah di daerah Hilir Perak dan dua di Batang Padang.
“Penyakit itu pertama kali dilaporkan di ladang babi komersial di daerah Hilir Perak pada 27 Mac lalu.
“Dan pada 4 April lalu, dua lagi ladang babi komersial di daerah Batang Padang disahkan menghidap penyakit tersebut melalui ujian yang telah dijalankan oleh Makmal Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Setakat 10 April lalu, sebanyak 990 ekor babi yang positif telah dilupuskan di daerah Hilir Perak dan Batang Padang telah segera dilupuskan di bawah Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) bagi mengawal penularan penyakit tersebut.
Notis Kuarantin di bawah Seksyen 18(3) Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) telah dikeluarkan kepada pemilik ladang-ladang babi yang telah disahkan positif untuk tidak memindahkan ternakan atau karkas keluar masuk ke ladang yang terjangkiti.
Enam ladang babi yang berada dalam radius 5km dari ladang yang disahkan positif juga turut diarah kuarantin dan akan dibuat pemeriksaan dan persampelan lanjut.
Menurutnya Razman, Perintah Kawasan Dijangkiti, Kawasan Kawalan dan Pembasmian Penyakit ASF Negeri Perak diwartakan pada 4 April lalu bagi memastikan kawalan serta penguatkuasaan lebih ketat dapat dijalankan.
“Setiap pemilik ladang ternakan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 jika gagal melaporkan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sekiranya jangkitan tersebut dikesan pada ternakan,” katanya.
ASF adalah demam yang disebabkan oleh virus Asfarviridae yang menyerang babi ternakan dan babi hutan.
Penyakit ini merebak dengan sangat cepat dan boleh membunuh dalam tempoh 2 hingga 10 hari selepas jangkitan dan terdapat tanda-tanda seperti kemerahan pada telinga, punggung, perut, dada dan kaki binatang tersebut.
Masih tiada vaksin untuk mencegah dan mengawal ASF dan penyakit itu juga tidak menjangkiti manusia.
Maklumat lanjut mengenai Demam Babi Afrika (ASF) boleh klik pautan di bawah.