Seri Manjung – Lebih kurang pukul 2.15 awal pagi tadi (10 Ogos 2022), hasil daripada maklumat orang awam, Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh telah berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran bertempat di 2.5 batu nautika dari Pulau Talang, Manjung, Perak Darul Ridzuan.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Azizi Mat Aris berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot tersebut, pihak Polis Marin berjaya menahan seramai 61 orang pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Seramai 54 orang lelaki dan 7 orang wanita dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) telah berjaya ditahan dan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dari negara jiran.
“Pihak polis turut menahan seorang lelaki berumur 39 tahun selaku tekong bot dan dua orang lelaki berumur 40 dan 45 tahun selaku pembantu tekong bot. Mereka juga berasal dari negara jiran.
“Kesemuanya telah ditahan dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Kampung Acheh bagi soal siasat dan tindakan lanjut oleh agensi berkaitan,” ujarnya lagi.
Siasatan awal mendapati, kesemua Pati telah dikenakan bayaran berjumlah RM800 hingga 4000 kepada sebuah ejen di negara jiran untuk menyusup masuk ke Malaysia.
Tekong yang ditahan turut mengaku mereka berlepas dari negara jiran menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Operasi turut dibantu oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
Pihak polis berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh orang awam dan mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan PATI atau jenayah.
Orang ramai boleh menghubungi pihak polis di balai-balai berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di talian 05-240 1999 atau 05-245 1073.
Foto: Polis Perak