4 maut, gempa bumi 7.4 skala Richter melanda utara Jepun

TOKYO – Empat orang terbunuh dan beratus cedera dalam gempa bumi yang menggegarkan sebahagian besar utara Jepun dan mencetuskan amaran tsunami, kata pihak berkuasa tempatan pada Khamis.

Penduduk dan pegawai di timur laut negara itu masih cuba menilai kerosakan awal, selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda sebelum tengah malam.

Amaran tsunami dengan ombak sehingga satu meter di bahagian timur laut Jepun telah ditarik balik pada awal pagi Khamis setelah pihak berkuasa mencatatkan paras air hingga 30 sentimeter iaitu lebih tinggi daripada kebiasaan di beberapa kawasan.

Beberapa gegaran kecil terus melanda wilayah itu sepanjang malam dan pagi pada hari Khamis.

Laporan awal hanya merekodkan kerosakan kecil dengan bangunan-bangunan di Jepun dibina supaya ianya boleh menahan gegaran gempa bumi. Selain itu, tiada kejadian luar jangka berlaku di loji nuklear Fukushima yang dilaporkan tidak terjejas akibat gegaran bumi yang kuat itu.

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menilai tahap kerosakan,” kata jurucakap kerajaan Hirokazu Matsuno kepada pemberita semalam.

“Gempa susulan besar sering berlaku beberapa hari selepas gempa pertama, jadi sila jauhi mana-mana bangunan runtuh dan tempat berisiko tinggi lain,” tambahnya.

Dua orang terbunuh dalam gempa itu, seorang di wilayah Fukushima dan satu lagi di negeri jiran Miyagi, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana, dengan lebih 90 orang cedera di beberapa wilayah.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun berkata, gempa bumi  itu berlaku pada kedalaman 60 kilometer (37 batu) dari pantai Fukushima kira-kira pada jam 11.30 malam dan didahului beberapa minit sebelum itu dengan gegaran 6.1 magnitud di kawasan yang sama.

Gegaran pada waktu malam berlaku hanya beberapa hari selepas Jepun menandakan ulang tahun ke-11 gempa bumi besar yang mencetuskan tsunami maut dan malapetaka nuklear Fukushima.

Gempa semalaman menghasilkan gegaran kuat di timur laut pantai, di mana barang-barang tercampak dari rak kedai serbaneka dan rak buku di dalam rumah roboh dan rosak.

Gegaran itu juga menggegarkan ibu negara dan beberapa bahagian di Tokyo dan kawasan lain bergelap sementara.

Kira-kira dua juta rumah kehilangan bekalan elektrik di kawasan terjejas sejurus selepas gempa bumi, tetapi ia telah dipulihkan secara berperingkat sepanjang malam. Kira-kira 35,600 rumah di kawasan Miyagi dan Fukushima masih terputus bekalan elektrik pada pagi Khamis, kata firma elektrik TEPCO.

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.