Ipoh – Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan menyatakan bahawa terdapat empat kes penyakit demam babi Afrika (ASF) sejak Disember sehingga awal tahun ini.
Ia membabitkan dua daerah dari negeri ini iaitu Batang Padang dan Kuala Kangsar.
“Tiga kes positif ASF telah dikesan pada ternakan babi komersial iaitu satu di ladang di Bidor, daerah Batang Padang.
“Manakala dua lagi di Sungai Siput iaitu di daerah Kuala Kangsar.
“Pada 13 Januari yang lalu, satu lagi kes positif ASF juga dikesan di daerah Kuala Kangsar.
“Kes tersebut dikesan dari hasil survelan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dalam radius 10 kilometer (km) dari ladang yang dijangkiti.
“Ladang ternakan yang terletak di mukim Sungai Siput itu telah dikuarantin dan tindakan pemusnahan serta pelupusan baki ternakan babi di ladang itu akan dijalankan pada 17 Jan (esok) secara berperingkat,” kata A Sivanesan.
Kes tersebut telah menjadikan rekod jumlah positif ASF di negeri ini sebanyak 11 kes. Masing-masing di Batang Padang (5), Kuala Kangsar (3), Kerian (2) dan Hilir Perak (1) kes.
Kesemua ladang yang disyaki dan disahkan dijangkiti ASF telah diarahkan untuk dikuarantin, menyekat pergerakan di semua ladang yang terletak dalam 2 km radius dari ladang terbabit dan ladang yang menggunakan kenderaan lori pengangkut babi yang sama sehingga proses survelan selesai.
Penternak babi juga dinasihatkan supaya meningkatkan tahap biosekuriti ladang bagi mengelakkan dijangkiti ASF dan perlu menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) jika terdapat kematian babi komersial atau hutan di kawasan mereka untuk tindakan lanjut.