3 mata Perak FC dipotong! Apa lagi selepas ini?
Seri Manjung – Perak FC sekali lagi dirundung nasib malang apabila dikenakan hukuman pemotongan tiga mata serta-merta bagi saingan Liga Premier musim 2022.
Badan bebas, First Instance Body (FIB) mengumumkan perkara tersebut atas kegagalan Perak FC untuk membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta pasukan simpanan sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantar kelab berkenaan yang bertarikh 15 Disember 2021.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa berkenaan kes tunggakan yang berlaku pada musim 2021.
Menurut Sheikh Mohd Nasir, Perak FC gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada tarikh pertama yang ditetapkan oleh FIB iaitu pada 31 Mac 2022.
“Pihak pengurusan Perak FC sebelum ini telah bersetuju untuk menjelaskan baki tunggakan gaji tahun lalu membabitkan pemain dan pegawai pasukan utama dan simpanan berjumlah RM 934,729.42 pada 31 Mac 2022 namun mereka didapati gagal untuk berbuat demikian.
“Justeru itu, Jawatankuasa FIB yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menjatuhkan hukuman pemotongan tiga mata kepada Perak FC.
“Jika Perak FC masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua, 14 April 2022 maka pada 15 April 2022, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Premier dan pengurangan dana.
“Sekiranya Perak FC masih gagal membuat bayaran tunggakan gaji tersebut sebelum atau pada 21 April 2022, maka pada 22 April 2022 MFL akan memanjangkan kes ini kepada FIB bagi tindakan lanjut,” tambah Sheikh Mohd Nasir lagi.
Perak FC juga gagal mengemukakan beberapa dokumen berkaitan kedudukan kewangan kelab serta laporan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai musim ini pada tarikh akhir 16 Mac 2022.
Pihak MFL telah menerima laporan aliran tunai 2022 dan tunggakan gaji untuk Januari sehingga Februari 2022 pada 15 Mac 2022 daripada Perak FC, tetapi MFL menyatakan bahawa Perak FC tidak akan mampu bertahan sehingga ke penghujung musim 2022.
Dalam kenyataan yang sama, MFL telah menerima surat daripada Perak FC berhubung pelabur baru yang berminat untuk mengambil alih melalui surat tawaran (LOI) pada 19 Mac 2022 dan Perak FC telah menghantar maklumat mengenai tawaran pengambil alihan dan pemilikan Perak FC Sdn. Bhd. Pada 21 Mac 2022.
“Bagaimanapun, Perak FC belum menghantar sebarang butiran rasmi atau bukti berkenaan kemampuan pelabur baharu (Proof of funds) yang bersedia untuk mengambil alih Perak FC pada atau sebelum 22 Mac 2022,” kata Sheikh Mohd Nasir.
Sekiranya Perak FC masih gagal mengemukakan dokumen rasmi sehingga 22 April 2022, kes ini akan dibawa kepada FIB untuk pertimbangan lanjut sebelum Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan mengenai status Perak FC.