22 barang dikawal harga sempena Aidilfitri

Putrajaya – Sebanyak 22 jenis barangan akan ditetapkan harga maksimum semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022 yang melibatkan kategori hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022 ini akan berkuatkuasa pada 26 April sehingga 6 Mei 2022 iaitu tujuh (7) hari sebelum, semasa dan tiga (3) hari selepas perayaan.

Untuk jenis daging yang tersenarai sebagai harga barangan harga terkawal bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022 adalah jenis daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja), daging kerbau import (harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja).

Bagi hasil laut pula, ia melibatkan ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 8-12 ekor setiap kilogram), ikan selayang (berat antara 8-12 ekor setiap kilogram), ikan aya/tongkol (berat antara 1-2 ekor setiap kilogram) dan ikan demudok/sagai/ cermin/cupak (Sabah sahaja).

Jenis sayuran membabitkan tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), kacang panjang, terung panjang, timun, halia tua import, bawang merah besar import, bawang besar Holland dan bawang putih (China).

Barangan kering yang termasuk dalam senarai tersebut ialah ubi kentang import (China), cili kering, kacang tanah, kelapa biji (borong sahaja) dan kelapa parut (runcit sahaja).

Alexander Nanta Linggi turut menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim dan peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum; individu tersebut boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal; individu tersebut boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022 ini merupakan langkah untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran sebelum, semasa dan selepas perayaan.

Foto | Twitter KPDNHEP

The Dindings Ledger

The Dindings Ledger (TDL) adalah portal berita yang diwujudkan oleh beberapa anak muda yang berasal dari Seri Manjung, Perak. Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada penduduk daerah Manjung mengenai perkembangan negara khususnya di daerah Manjung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *