Seri Manjung – Petang Khamis hadapan, 29 Ramadhan 1444 Hijrah bersamaan 20 April 2023 adalah tarikh yang ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal.
Ia melibatkan 29 lokasi di seluruh negara termasuk satu di daerah Manjung iaitu di Pantai Pasir Panjang (Baitul Hilal), Segari.
Perkara itu dimaklumkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Raja-raja Melayu.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Pada malam tersebut juga akan diumumkan tarikh Hari Raya Puasa melalui radio dan televisyen yang akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
Antara lokasi lain yang dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain yang turut terpilih ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga, Kemaman, Pulau Perhentian Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.
Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.
Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dan Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang dan Bukit Pelindong, Kuantan.
Tiga lagi lokasi ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.