Putrajaya – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa Jumaat (18 November) dan Sabtu (19 November) ini diisytiharkan sebagai hari pelepasan am bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rakyat Malaysia akan keluar mengundi sempena PRU15 pada Sabtu ini, iaitu bersamaan 19 November 2022.
Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika beliau berucap pada Majlis Pecah Tanah Wisma Cuepacs di sini hari ini.
Pada masa yang sama, kerajaan bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji bagi penjawat awam pada bulan November diawalkan pada 17 November dan bayaran pencen pada 14 November.
“Diharap ini (pembayaran awal gaji dan pencen) dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” tambahnya.
Ismail Sabri turut mengumumkan, 30 syarikat konsesi lebuh raya bersetuju untuk memberikan tol percuma pada dua hari berkenaan.
“Tol percuma tersebut akan bermula pukul 12.01 pagi 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November 2022.
“Ia melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 yang dianggarkan sekitar 90% dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya,” katanya.